Monday, February 01, 2016

Cara Skim Cepat Kaya - Waran BSKL

"Waran dan pelaburan jangka masa panjang - kedua-duanya rapat bagai siang dan malam, timur dan barat?" Orang ramai selalu mengaitkan pelabur waran dengan spekulator, pedagang dan pengarbitraj. Terutama sekali dalam pasaran tempatan, waran seperti direka khas untuk pelabur runcit kerana kemeruapannya dan kerana harga setiap waran hanya beberapa sen.

Bagaimanapun, mari kita lihat asas waran untuk mereka yang kurang mengetahui. Buku teks menjelaskan waran sebagai alat yang memberi hak kepada pemegang saham untuk membeli saham dalam syarikat sandaran pada harga dan jangka masa tertentu. Waran membolehkan anda berdagang secara agresif pada harga masa hadapan. Jika anda percaya harga saham akan naik, anda akan mendapat pulangan lebih tinggi daripada pelaburan dalam waran daripada saham sandaran. Begitu juga kalau anda silap dan sebaliknya harga saham jatuh, maka kerugian yang anda tanggung juga lebih besar. Hubung kait ini ataupun pengkalian di mana harga waran naik relatif kepada harga sandaran saham dikenali gearing.

Contohnya, jika anda membeli waran syarikat A pada kos 10 sen pada masa harga sahamnya RM1, gearing ialah 10x (dikira seperti berikut : RM1/RM0.10). Ini bermakna, secara teori, jika harga saham itu naik 10 peratus (10 sen), harga waran sepatutnya naik 100 peratus (10 sen kenaikan ke atas kos 10 sen).

Sekarang, saya akan jelaskan sesuatu yang menarik. Pertama, apa kata anda jika saya memberitahu ada syarikat yang boleh anda labur, yang mana harga saham mereka boleh meningkat lima kali ganda atau lebih dalam beberapa tahun? Kedua, bagaimana pula jika anda mempunyai kuasa untuk meningkatkan pencapaian beberapa kali lagi? Anda boleh mencapai yang pertama dengan membeli saham kitar pada masa harga rendah (contohnya - harga saham MPI meningkat 11 kali ganda antara Ogos 1998 dan Februari 2000) dan mencapai yang kedua dengan menggunakan waran untuk "gearing".

Gabungkan kedua-duanya dan anda akan memiliki satu strategi yang kukuh! Hanya satu teori? Fikir sekali lagi. Waran Hong Leong Industries, syarikat induk MPI, meningkat sebanyak 46 kali ganda antara suku tahun ketiga 1998 dan suku tahun pertama 2000. Pada masa yang sama, waran AIC naik sebanyak 35 kali, waran Gamuda -WI 38 kali dan waran CAH-W 24 kali. Saya sedar contoh yang digunakan berlaku pada masa krisis ekonomi Asia 1997/98.

Ini menyebabkan asas menjadi amat rendah dan kenaikan harga kelihatan lebih dahsyat apabila pasaran mula pulih. Namun, ini tidak menyimpang daripada apa yang ingin saya sampaikan - iaitu kemungkinan pulangan yang amat tinggi daripada penggunaan waran dengan bijak. Bagaimana caranya? Sebagai permulaan, anda perlu melabur di dalam sesebuah perniagaan yang kitarannya hampir dengan jurang - ini satu prinsip baik untuk pelaburan jangka panjang, walaupun anda tidak menggunakan waran.
Contoh perniagaan berkitaran tinggi ialah teknologi, perbankan, pembinaan dan perumahan. Selepas itu, waran itu mestilah mempunyai gearing" tinggi untuk memperolehi kelebihan. Mungkin, inilah saja yang mesti anda fikirkan jika anda mahukan pulangan tinggi. Tapi ia belum berakhir di sini. Anda juga perlukan langkah keselamatan untuk memastikan anda tidak membuang duit begitu saja.

Pertama, anda mesti melabur dalam waran syarikat yang kukuh. Lupakan syarikat spekulasi. Kedua, waran mesti mempunyai masa yang panjang untuk matang, supaya ia boleh bertembung dengan kenaikan harga apabila kitaran perniagaan bergerak ke fasa menaik. Bergantung kepada jenis perniagaan, saya nasihatkan hayat waran tidak harus kurang daripada tiga tahun. Ketiga, harga laksana mestilah tidak terlampau tinggi daripada harga saham semasa. Keempat, anda mesti pastikan perniagaan itu hanya berada dalam jurang kitarnya dan bukan mengalami kejatuhan struktur. Strategi ini tidak akan berjaya jika anda melabur dalam waran sebuah syarikat yang terbabit dalam penggalian timah contohnya. Akhirnya, anda mesti selesa dengan kemajuan syarikat itu, contohnya - syarikat itu tidak akan dijual, atau berhenti beroperasi sebelum keadaan sempat pulih.

Sebelum saya akhiri, saya mesti menjelaskan beberapa perkara. Waran ialah satu alat berisiko tinggi bukan saja kerana ketidaktentuannya tetapi juga kemungkinan besar anda hilang semua pelaburan. Anda tidak sepatutnya memikirkan kemungkinan melabur semua simpanan anda ke dalam waran hanya kerana inginkan pulangan sebanyak 10 kali atau lebih. Saya hanya menggalakkan strategi ini untuk sebahagian kecil portfolio anda atau melabur sejumlah wang yang kecil, yang tidak akan memberikan kesan jika anda rugi.


(Yeoh Keat Seng ialah Ketua Eksekutif Commerce Trust Bhd. E-mel keatseng@commercetrust.com.my)

Pengurusan Air Untuk Ternak Ikan Air Tawar

Kriteria Air Berkualiti - Kimia: Kandungan Oksigen Terlarut (DO): Lebih daripada 4.0 mg/l (Disyorkan lebih daripada 5.0 mg/l) pH: 6.5 - 8....